Istiadat Bersiram (25 Oktober 2009) Pertabalan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-11

Pada istiadat bersiram bermula pukul 10.35 pagi ini, Tuanku Muhriz dan Tuanku Aishah Rohani bersemayam di atas Takhta Rencana dan diarak dari Istana Besar Seri Menanti ke Panca Persada (kira-kira 500 meter) disusuli dengan empat das tembakan meriam. Perarakan Takhta Rencana yang ditarik Pegawai 99 didahului kumpulan Rebana, diikuti pembawa alat kebesaran diraja, pembawa Cepu Bedak Limau dengan diiringi Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz dan kerabat diraja.

Setelah sampai dan bersemayam di Panca Persada, Orang Empat Istana menyempurnakan istiadat bersiram dengan menyembahkan bedak limau setelah mengelilingi baginda berdua sebanyak 7 kali.

Setelah selesai pusingan ketujuh, Datuk Seri Amar Diraja Ahmad Minal menyembahkan Cepu Bedak Limau untuk istiadat bersiram.

Tuanku Muhriz kemudian mencelupkan kedua belah tangan baginda ke dalam Cepu Bedak Limau.

Selepas itu Datuk Seri Amar Diraja menjunjung duli kepada Tuanku Aishah Rohani. Setelah selesai upacara itu, diadakan persembahan pencak silat, tarian piring dan caklempong lagu "Raja Bersiram".

Majlis diakhiri bacaan doa oleh Mufti Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Yusof Ahmad. Baginda berdua kemudian bersemayam semula di atas Takhta Rencana dan diarak kembali ke Istana Besar Seri Menanti dengan disusuli empat das tembakan meriam lagi.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan dan isteri Raja Datin Seri Salbiah Tengku Nujumudin, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Razak Mansor, anggota Exco, wakil rakyat dan ketua-ketua jabatan adalah di antara 5,000 orang yang menyaksikan istiadat tersebut.

Istiadat bersiram yang berakhir pada kira-kira pukul 12 tengah hari itu diakhiri dengan majlis santapan tengah hari di Dewan Banquet, Istana Besar Seri Menanti manakala rakyat menikmati hidangan tengah hari di dua tempat berasingan iaitu di padang Sekolah Kebangsaan Tunku Laksamana Nasir dan kawasan lapang berhampiran Istana Tasek.[3]